RIS lahirkan intelek cilik sains, tahfiz moden


MEMANDANG jauh ke hadapan, Nurshifaa Mohd. Yusof, 27, tidak hanya melihat prospek kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan namun, terpaksa mencagarkan waktu berharga bersama keluarga tersayang tetapi lebih jauh daripada itu.

Biarpun menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), wanita yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga itu berasakan, tiba masanya untuk dia memikirkan masa hadapan lebih serius.

“Bukan saya katakan kerjaya sebagai seorang doktor tidak bagus. Namun, setelah beberapa tahun berkahwin, saya mula mengimpikan satu kerjaya yang hebat dan pada masa yang sama tidak mengabaikan keluarga.

“Setelah berbincang dengan suami dan menilai keperluan pasaran, saya mendapati, bidang pendidikan mempunyai prospek yang luas untuk dikembangkan.

“Dari situ, saya mengajak tiga orang rakan lain untuk menubuhkan sebuah sekolah rendah swasta dan merancang rapi bagi merealisasikannya,” ujar wanita berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu.

Hasrat Nurshifaa itu disambut baik oleh tiga rakan lain yang berlatarbelakangkan disiplin ilmu berbeza iaitu Abdullah Firdaus Abd. Jalil, 29, (lulusan undang-undang) Mohd. Azzizat Abd. Rahman, 29, (ICT) dan Khairul Azwan Muhd. Shafee, 25, (sains sosial).

Khairul Azwan merupakan graduan Universiti Teknologi Mara, dan Mohd Azzizat graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia manakala dua yang lain adalah produk pendidikan USIM.

Setelah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan sebuah sekolah rendah swasta pada pertengahan tahun lalu, keempat-empat anak muda itu bertindak mengedarkan borang soal selidik secara online bagi mengenal pasti kehendak pendidikan ibu bapa untuk anak-anak mereka terutamanya di peringkat sekolah rendah.

Hasil kajian mendapati, kebanyakan ibu bapa di sekitar Lembah Klang dan Johor menginginkan pendidikan yang menitikberatkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta dilengkapi dengan elemen tahfiz buat anak-anak mereka.

Ia penting bagi mengimbangi keperluan akademik negara tanpa mengabaikan tuntutan agama. Sementelah, anak-anak di peringkat sekolah rendah umpama ‘span’ yang mudah meresap ilmu dan amalan baik jika disampaikan dengan betul.

Lokasi strategik

Maka, tertubuhlah Sekolah Rendah Islam Rizq (RIS) yang bermaksud rezeki dalam bahasa Arab. RIS juga telah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kampung Sungai Ramal Dalam di Kajang, Selangor dipilih sebagai tapak sekolah tahfiz elit itu kerana lokasinya yang strategik dan kondusif.

Menariknya, RIS menggunakan pendekatan pendidikan berasaskan pembelajaran di rumah ilham negara Finland iaitu sesi pengajaran serta pembelajaran (P&P) berasaskan permainan.

Sesi P&P berlangsung di dalam kelas bergerak bagi menarik dan mengekalkan momentum daya tumpu murid serta memberi pengalaman pembelajaran secara terbuka.

Setiap satu ‘ruang singgah’ P&P itu dilengkapi dengan alat pembelajaran canggih bertaraf dunia seperti auditorium, perpustakaan, ruang permainan dalaman dan padang permainan.

Ia merupakan sekolah pertama seumpamanya yang ditubuhkan di Lembah Klang dan turut dilabel sebagai tahfiz bertaraf antarabangsa pertama di Asia Tenggara.

“Selain kaedah pembelajaran tradisional di bilik darjah, setiap murid juga didedahkan dengan penggunaan alatan teknologi iaitu iPad untuk tujuan pembelajaran.

“Buat permulaan, iPad hanya akan dibekalkan untuk kegunaan di auditorium,” ujar Abdullah Firdaus selaku Pengarah Korporat RIS merangkap penasihat undang-undang.

Tambah Nurshifaa, buat permulaan, sekolah yang bakal beroperasi pada Januari 2017 itu dibuka kepada murid-murid berumur tujuh hingga 11 tahun dan akan menerima calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pertama pada 2018.

Sementara itu, penasihat RIS, Khairul Azwan memberitahu, walaupun sekolah itu menggunakan pendekatan tahfiz, ia tidak tertakluk kepada kod berpakaian sekolah biasa.

“Murid lelaki akan memakai kemeja putih berlogo sekolah bersama seluar panjang kelabu gelap manakala pada hari Isnin dan acara rasmi sekolah, mereka perlu mengenakan kardigan rasmi dalam rona kelabu cerah pada bahagian luar kemeja.

“Kod berpakaian yang sama juga diguna pakai untuk murid perempuan selain tambahan tudung sarung bagi menutup rambut. Malah, mereka boleh memilih untuk memakai seluar atau skirt manakala kemeja pula lebih labuh berbanding murid lelaki,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz4IA750nZc