Rizq Islamic School (CikguHailmi.com)


Bagi ibubapa yang berkemampuan, pemilihan sekolah yang terbaik untuk anak-anak adalah merupakan suatu pilihan yang sangat penting.Apatah lagi jika wujud permintaan lain, seperti mahukan anak menjadi seorang tahfiz, tetapi dalam masa yang sama mahukan anak-anak juga belajar dengan sistem pendidikan setaraf antarabangsa seperti di Finland dan Jepun. Jangan bimbang. Rizq Islamic School menyediakan sekolah tahfiz antarabangsa yang terbaik untuk anda!

Mula-mula mendapat jemputan ke Rizq Islamic School ini, saya membayangkan jemputan ke sekolah tahfiz seperti yang biasa kita dengar dan tahu. Tanpa dimaklumkan nama sekolah, dan hanya diberi location sahaja, memang terkejut betul bila saya mula-mula sampai ke bangunan sekolah nya. Kawasannya memang berwarna warni, bangunan yang tidak seperti sekolah dan ada kelengkapan luar lain seperti kawasan padang dan taman permainan. Hmm.. surprising!

Apatah lagi semasa saya sampai, kelihatan beberapa orang anak kecil yang mahu pulang, tetapi dikawal dengan rapi sistemnya. Sistem keselamatan dan juga penjagaan daripada pengawal menunjukkan betapa keselamatan pelajar sangat diutamakan. Suatu perkara yang patut ibubapa zaman sekarang pertimbangkan juga bila menempatkan anak-anak ke sekolah swasta sebegini.

Lawatan saya disambut oleh Encik Johari, pegawai perhubungan di sekolah tahfiz antarabangsa ini. Selepas berkenalan, kami bergerak ke Teacher’s Lounge. Teacher’s Lounge ini adalah ruangan para guru untuk berehat dan lepak seketika kerana tiada bilik guru khusus.

Kenapa tidak perlukan bilik guru khusus? Sebab sekolah tahfiz ini mengamalkan sistem ‘floating classroom’, di mana guru berada di kelas, dan murid akan bergerak ke kelas mengikut subjek. Sistem antarabangsa, sama seperti yang diamalkan di negara omputih. Taklah murid bosan melangut saja dalam kelas. Best kan?

Di Teacher’s Lounge nih, Encik Johari menceritakan serba sedikit mengenai sekolah tahfiz Rizq Islamic School ini. Cerita beliau yang pertama saja sudah cukup mengejutkan saya.

Sekolah tahfiz antarabangsa Rizq Islamic School ini ditubuhkan oleh 4 anak muda yang belum pun mencecah usia 30 tahun! Wow!!! Mereka adalah Abdullah Firdaus, Dr Shiefa, Mohd Azzizat dan juga Khairul Azwan, yang merupakan profesional muda yang inginkan transformasi kepada cara kita mendidik anak Malaysia sesuai dengan zaman sekarang.

Maka sekolah tahfiz antarabangsa ini menawarkan kepada ibubapa yang inginkan anak-anak mendalami ilmu agama, dan dalam masa yang sama masih berkeupayaan untuk bersaing dengan anak-anak lain di peringkat antarabangsa dengan cara belajar dari Finland dan juga Jepun. Hebat! Mana nak cari kan?

Tak perlu juga bimbang, sebab sekolah swasta antarabangsa ini sudah pun mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pada Julai 2016. Kot-kot kalau masih tak berpuas hati, boleh hubungi Bahagian Sekolah Swasta, bagi maklumat lanjut.

Kenapa Sekolah Ini Berbeza Dengan Sekolah Lain?
Rizq Islamic School ini berbeza dengan sekolah tahfiz lain sebab mereka menggunakan kaedah pembelajaran yang disesuaikan dengan minat kanak-kanak untuk belajar. Finland punya style. Bukan itu saja, ianya disempurnakan dengan fasiliti bertaraf 5 bintang yang menjadikan Rizq Islamic School ini sebagai Sekolah Tahfiz Antarabangsa yang pertama dalam kalangan negara-negara ASEAN. Huiyo!

Keunikan sistem pembelajaran sebagaimana yang diamalkan di negara Finland dan Jepun yang menggunakan konsep “play based learning” di tambah dengan kaedah penghafalan Tahfiz moden, menjadikan sekolah ini sangat-sangat berbeza dengan sekolah tahfiz lain. Kaedah pembelajaran yang berbeza ini pasti menjadikan pelajar gembira untuk datang ke sekolah, sama seperti yang berlaku di Finland.

Tak lupa juga, pembelajaran murid juga akan dipermudahkan dengan adanya penggunaan teknologi seperti ipad.  Dan penggunaan ipad ini bukan sahaja hanya kepada subjek akademik, tetapi juga sebagai alat bantu mengajar khususnya dalam subjek Hafalan Al-Quran. Wow… tahfiz moden sangat!!

Manakala untuk bidang agama, bagi memastikan Rizq Islamic School nih berada di landasan yang betul, maka beberapa orang penasihat dilantik bagi memantau perkembangan di sini. Bukan calang-calang orangnya. Hebat-hebat belaka. Mereka adalah :

Penasihat Utama
Professor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin
(Pengerusi Fatwa Kebangsaan)

Penasihat Akademik
Professor Dr Sharifah Meriam Syed Akil
(Felo Kanan Universiti Sains Islam Malaysia)

Ketua Jabatan Pengajian Al-Quran dan Islam
Ustaz Mohd Nazri Dewa Al-Hafiz
(Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia)

Walaupun kaedahnya pembelajaran di sini nampak berbeza, tetapi dengan kepakaran yang ada, ia mampu untuk melahirkan seorang Hafiz Quran yang baik serta mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam bidang akademik. Dunia dapat. Akhirat pun inshaAllah dapat.

Mendengar cerita Encik Johari sahaja, dah cukup membuatkan saya merasakan betapa berbezanya sekolah tahfiz ini berbanding sekolah-sekolah tahfiz lain. Tak sabar pula rasanya nak melihat fasiliti lain yang disediakan di sekolah ini.

Tour de Rizq Islamic School
Kami kemudian bergerak melihat fasiliti yang disediakan oleh sekolah ini. Difahamkan terdapat 16 bilik kelas, auditorium (wow!), dewan, bilik permainan yang lengkap dengan kemudahan gimnasium, padang bola dan kemudahan asas yang lain.

Laluan pergerakan di dalam bangunan menggunakan sistem warna dan dilabelkan dengan sangat jelas. Menggunakan konsep sekolah di Jepun, sistem ini dapat membantu pelajar untuk lebih alert dengan keselamatan mereka dan juga membantu pergerakan yang lebih lancar. Saya suka!

Sampai di bilik kelas, memang suka giler saya dengan meja dan kerusi yang ada. Memang betul-betul abad 21. Meja dengan rekabentuk yang sesuai untuk aktiviti berkolaboratif, dan buat aktiviti. Tak lupa juga warna yang sangat menarik, pasti membuatkan murid tak sabar nak datang ke kelas yang sangat comel nih. Anggaran murid bagi setiap kelas adalah lebih kurang 20 orang pelajar. Selesa kan?

Disebabkan sekolah Rizq Islamic School ini menggunakan konsep ‘floating classroom’, maka kemudahan seperti locker disediakan berdekatan dengan bilik kelas. Sangat mudah untuk pelajar akses kepada locker masing-masing jika perlu bertukar ke kelas matapelajaran lain pula. Locker nya pun, sangat lah comel. Warna warni!

Dari sana, kami bergerak ke auditorium. Perghhh.. best! Untung budak-budak nih. Dapat satu fasiliti yang boleh membantu mereka jadi pelajar yang lebih berkeyakinan dan mampu berkomunikasi. Sebabnya selain daripada digunakan sebagai ruang taklimat, bilik ini juga akan digunakan sebagai ruang untuk pelajar membuat pembentangan.

Kemudian kami bergerak ke gimnasium yang berada bersebelahan dengan bilik auditorium. Ruangnya agak selesa untuk satu kelas pelajar jika ditempatkan untuk aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Kelengkapannya juga pelbagai dan lengkap dengan cermin untuk aktiviti yang sesuai.

Di sebelahnya pula terdapat Perpustakaan. Buku-buku masih tak banyak, tetapi akan ditambah dari masa ke semasa. Sebabnya masih banyak rak-rak kosong yang boleh dipenuhkan lagi selepas ini. Ruang di perpustakaan ini sangat selesa. Terdapat beberapa buah kerusi yang comel berwarna warni. Mood yang sangat berbeza.

Di sebelah belakangnya terdapat ruang untuk kemudahan akses komputer, lengkap internet. Masih kosong. Tetapi saya difahamkan, pihak pengurusan sekolah Rizq Islamic School telah berurusan dengan pihak Apple untuk menyediakan Macbook, bagi kegunaan pelajar-pelajar. OK. Yang ini serius, jelez! Untong lah korang yer adik-adik..

Tingkat dua pula menempatkan bilik permainan. Ingatkan bilik permainan biasa. Sebaliknya menempatkan banyak mainan-mainan yang menggalakkan aktiviti hands-on dalam kalangan murid. Mainan seperti lego dan beberapa mainan yang ada unsur akademik disediakan dalam beberapa stesyen.

Bestnya sebab ada juga sudut untuk pelajar melakukan aktiviti shooting dengan kemudahan video cam dan green screen yang disediakan. Wah!!! Sangat bagus nih jika pelajar semuda usia ini diberikan pendedahan dengan perkara seperti ini. Lebih mudah dan pastinya lebih canggih jika mereka diberi peluang kreatif dengan persembahan mereka ini.

Bahagian luarnya pula menempatkan ruangan kosong dengan artificial grass. Ruang kosong ini sengaja dibiarkan kosong supaya membolehkan aktiviti-aktiviti seperti mencerap bintang dapat dilakukan. Wahhh.. patut lah, kelab kokurikulum para pelajar ini terdiri daripada kelab astronomi, robotik dan lain-lain yang menarik.

Kemudian kami bergerak ke tingkat paling atas yang menempatkan surau untuk kemudahan pelajar menunaikan solat. Surau lengkap berkarpet, dengan hiasan yang sangat minima. Juga disediakan kemudahan rak untuk pelajar meletakkan kasut mereka.

Sambil-sambil tu sempat juga saya mengintai kemudahan tandas yang disediakan. Papan tanda tandas, sangat jelas kelihatan. Mudah untuk anak kecil mengenalpasti mana toilet lelaki, dan mana toilet perempuan. Kemudahan ringkas untuk toilet cangkung dan juga tandas duduk, lengkap dengan sinki.

Tapi yang menarik perhatian saya adalah, penggunaan ruang untuk tujuan mendidik anak-anak kecil ini. Di pintu dan dinding dilekatkan info-info yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan. Nampak tak? Pembudayaan ilmu berlangsung di mana-mana, tanpa mengira masa. Terbaik!

Artikel penuh: http://www.cikguhailmi.com/2016/10/rizq-islamic-school-sekolah-tahfiz-antarabangsa-finland-jepun.html