Ubah stigma terhadap sekolah tahfiz


Apabila menyebut sahaja tentang sekolah tahfiz, ramai yang akan membayangkan sebuah sekolah agama yang daif dengan sistem pengajiannya diragui dari segi kualiti dan potensinya pada masa depan sehingga sukar mendapat pekerjaan, terutama dalam bidang profesional kecuali menjadi imam masjid atau tugas-tugas berkaitan dengan agama.

Malah sehingga hari ini, sebenarnya masih wujud sindiket mempergunakan pelajar sekolah tahfiz untuk mengutip derma di stesen minyak, restoran atau kawasan tumpuan orang ramai bagi pelbagai tujuan seperti pembiayaan pengajian dan pengurusan segelintir sekolah tahfiz.

Keadaan itu sedikit sebanyak mencetuskan pandangan kurang enak terhadap sekolah berkenaan.

Namun, sambutan ibu bapa terhadap institusi tersebut, yang lebih dikenali sebagai sekolah pondok, di negara ini masih pada tahap yang membanggakan mungkin disebabkan adanya kesedaran daripada ibu bapa yang mahu anak mereka mendapat didikan agama yang sempurna.

Adanya stigma seperti itu menyebabkan seorang wanita muda tekad untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz yang dijalankan secara profesional dan sistematik bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan berkualiti untuk melahirkan golongan tahfiz profesional dan terbaik di dunia.

Meskipun bergelar doktor perubatan, niat untuk menubuhkan sekolah berorientasikan pendidikan agama tidak menghalang Dr. Nurshifaa Mohd. Yusof melahirkan golongan tahfiz bermula dengan pendidikan sekolah rendah melalui penubuhan Rizq Islamic School (RIS).

Sudah berkahwin, Dr. Nurshifaa memasang impian untuk melihat anak-anaknya mendapat pendidikan ideal yang seimbang antara dunia dan akhirat.

Jadi, dengan adanya sekolah tersebut, pasti dia akan menitikberatkan kualiti pelajar dengan sistem pembelajaran sistematik, seterusnya mampu membentuk sahsiah pelajar yang bukan sahaja cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat.

“Walaupun sekolah yang ditubuhkan ini merupakan sekolah agama persendirian, saya percaya akan keberkesanan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ternyata mampu membekalkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan untuk memenuhi keperluan semasa.
“Saya dan suami juga adalah produk yang dihasilkan oleh KSSR, jadi kami percaya dengan modul ini. Sebagai tambahan, modul pendidikan agama yang dihasilkan kami adalah berteraskan pendidikan moden kerana kami mahu sekolah ini menjadi sebuah sekolah tahfiz moden bertaraf elit yang menjadi pilihan ibu bapa masa kini,” katanya ketika ditemui di RIS, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Contohi kaedah pembelajaran di Jepun dan Finland

Diasaskan bersama tiga sahabat yang lain, iaitu Abdullah Firdaus Abd. Jalil, Mohd Azzizat Abd. Rahman dan Khairul Azwan Mohd. Shafee, Dr. Nurshifaa percaya mereka mampu mengubah stigma terhadap sekolah tahfiz meskipun perlu menempuh pelbagai cabaran bagi memastikan adanya keyakinan daripada ibu bapa dan masyarakat terhadap sekolah yang dibina mereka itu.

Selain menggunakan sepenuhnya modul KSSR, RIS juga berpandukan modul agama Islam yang diselia oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mana sebahagian daripada modul berteraskan Kurikulum Sekolah Rendah Agama selain program tahfiz yang merangkumi empat subjek iaitu Hifz Al-Quran, Tajwid, Tafsir Al-Quran, dan Adab Hamalatul Quran yang diselia oleh dua hafiz yang mempunyai sijil hafiz dari Darul Quran.

Menurutnya, sebagai permulaan RIS hanya menerima pelajar sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun dan menetapkan jaminan pelajar akan dapat menghafaz sebanyak 30 juzuk al-Quran dalam tempoh enam tahun pembelajaran termasuklah pemahaman terhadap inti sari al-Quran.

Bagi memastikan kesinambungan pelajar dalam bidang hafazan, pihaknya juga akan membuka permohonan untuk pelajar sekolah menengah pada 2018 dan bakal membuat kerjasama dengan universiti-universiti tempatan serta luar negara, bagi menempatkan pelajar lepasan RIS menyambung pengajian dalam bidang profesional tanpa mengabaikan pendidikan al-Quran.

“Sama seperti di sekolah kebangsaan, RIS juga mewajibkan penglibatan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum tetapi bezanya di sini, kami mencipta modul kurikulum baharu berdasarkan latar belakang pengasas.
“Sebagai contoh, kelab-kelab persatuan bakal merangkumi bidang perubatan, undang-undang, teknologi maklumat, dan keusahawanan bagi memberi peluang kepada pelajar menyelami bidang profesional pada usia seawal tujuh tahun,” katanya.

Menggunakan kaedah play-based seperti yang dijalankan oleh sekolah-sekolah di luar negara seperti Jepun dan Finland, Dr. Nurshifaa percaya murid akan lebih mudah didekati jika diajak belajar sambil bermain kerana mereka akan berada lama di sekolah, iaitu bermula pada pukul 8 pagi sehingga 4.30 petang.

Di samping itu, RIS juga akan menggunakan kaedah floating class, iaitu pembelajaran tidak semestinya dilakukan di dalam kelas kerana pelajar digalakkan bergerak di sekitar sekolah bagi mewujudkan sifat disiplin dalam diri di samping penggunaan teknologi yang canggih dalam sistem pembelajaran.

“Kemudahan-kemudahan lain di RIS adalah bangunan pentadbiran, makmal sains, padang bola dan permainan, gimnasium, dewan pelbagai guna, auditorium mini, perpustakaan, bilik permainan, surau dan kafeteria,” ujarnya.
Mempunyai kapasiti untuk menempatkan seramai 400 murid, tenaga pengajar di RIS juga adalah dalam kalangan guru-guru berpengalaman dan guru-guru muda yang boleh mengikuti sistem pembelajaran moden yang cuba diterapkan pihaknya,

Dia berharap RIS dapat membuka lembaran baharu dalam bidang pengajian Islam di Malaysia selain dapat memperkukuh portfolio sebagai sebuah institusi pengajian Islam yang akan memberi keseimbangan kepada akademik supaya sekolah ini menjadi akademi tahfiz dan sains terbaik di negara ini dengan melahirkan hafiz-hafiz al-Quran profesional.

RIS akan beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan, maklumat lanjut boleh melayari laman web, www.rizq.edu.my.

See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/ubah-stigma-terhadap-sekolah-tahfiz-1.365002#sthash.DvlQ0K56.dpuf